GEMPA bumi bermagnitud 7.5 melanda Sulawesi Tengah pada 28 September 2018 telah menimbulkan semula kegelisahan masyarakat mengenai bahaya bencana alam dan kebimbangan apakah bencana seumpama ini boleh menimpa kita?

Ini adalah gempa berskala besar dan menghasilkan impak yang berskala besar juga. Sepanjang jalur berjurus utara-selatan iaitu ‘Sesar Palu-Koro’ beberapa bandar besar terjejas, bangunan musnah dan banyak nyawa terkorban. Sehingga kini, lebih 1,900 orang terkorban, 2,500 parah, 5,000 mangsa dilaporkan masih hilang dan 65,000 rumah musnah.

Di pesisir pantai, bandar Donggala, Malonda dan Pantai Talise dilanda tsunami. Tinggi ombak mencapai 10 meter merempuh pesisiran pantai dan memusnahkan apa saja sepanjang laluannya.

Penduduk terperangkap

Di Palu, kebanyakan bangunan runtuh dan ramai penduduk yang terperangkap dalam runtuhan terkorban atau cedera parah. Di Petobo dan Balaroa pula, tanah mencair akibat gegaran (liquefaction) menyebabkan rumah dan penghuninya terperosok dan ditelan lumpur.

Ramai yang mati tertimbus bersama-sama rumah mereka. Beberapa daerah di kaki bukit seperti Biromaru dan Sigi Sulteng, gegarannya menyebabkan tanah runtuh.

Patahan sepanjang sesar Palu-Koro menyebabkan gegaran kuat dan anjakan dasar laut, akibatnya berlaku rantaian bencana seperti runtuhan bangunan, tsunami, pencairan tanah dan tanah runtuh. Rantaian peristiwa selepas gempa bumi besar itu sebenarnya menjadi punca kemusnahan bangunan, kecederaan dan kematian.

Simpati nasib mangsa bencana

Rakyat Malaysia amat bersimpati dengan peristiwa bencana yang sering menimpa jiran tetangga. Kita perlu bersyukur kerana negara kita hampir bebas daripada bencana akibat gempa bumi.

Setiap kali bencana alam berlaku di Indonesia, seperti gempa bumi sangat besar dan tsunami Aceh pada 2004, gempa di Lombok pada Julai 2018, dan terbaru gempa Sulawesi, rakyat Malaysia asyik bertanya soalan yang sama, apakah jalur gempa mulai menghampiri kita?

Lebih-lebih lagi selepas berlaku gempa berskala sederhana di Gunung Kinabalu pada 2015 yang mengorbankan 17 nyawa. Mereka juga ingin tahu, apakah Malaysia boleh dilanda bencana gempa bumi besar? Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan masyarakat untuk menghindar daripada impak bencana ini?

Izinkan saya menjelaskan dahulu apa itu gempa bumi? Ia gegaran akibat patahan (sesaran) yang berlaku di bahagian kerak bumi. Lebih 500,000 gempa bumi berlaku setiap tahun, kebanyakannya bermagnitud kecil dan tidak dapat dirasai oleh deria manusia.

Seluruh permukaan bumi bersifat dinamik, sentiasa bergerak dengan perlahan seperti tumbuhnya kuku manusia. Ada bahagian yang bergerak dengan lebih pantas (mencapai 8 sentimeter setahun). Kawasan ini menghasilkan gempa bermagnitud besar dan sering dikenali sebagai jalur gempa bumi atau ada juga yang menyebutnya sebagai lingkaran api.

Di Asia Tenggara, jalur ini boleh berkelebaran sehingga 500 kilometer dikaitkan dengan gempa bumi berskala besar dan sangat besar. Kedudukannya meliputi kepulauan Sumatera, Jawa, Bali, Lombok, Nusa Tenggara, Sulawesi dan kepulauan Filipina. Jalur gempa bumi masih sama belum berubah, Malaysia berada di luar daripada jalur ini.

Malaysia berdepan dengan gempa bumi berskala kecil dan sederhana. Di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, rekod saintifik menunjukkan gempa bumi sehingga kini hanya bermagnitud rendah. Sekadar gegaran kecil dan tidak mengakibatkan bencana.

Di Sabah, khususnya di daerah Tawau, Lahat Datu dan Ranau, pernah berlaku beberapa gempa bermagnitud sederhana. Gegaran menyebabkan kerosakan kecil, tetapi tiada kematian.

Hanya gempa bumi Gunung Kinabalu 2015 yang menyebabkan 17 pelajar terkorban. Gegaran menyebabkan satu daripada batuan puncak Kinabalu runtuh, dan kebetulan pelajar terkorban sedang beriadah di kaki puncak itu. Ini peristiwa luar biasa dan telah ditakdirkan.

Tindakan kita

Apa yang boleh dilakukan untuk menghindar bencana gempa bumi? Saya berpendapat, Malaysia perlu melihat bencana gempa dan letusan volkano sebagai negara berada di pinggir jalur gempa bumi atau lingkaran api.

Kita perlu bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dan Filipina dalam urusan penyelidikan serta hebahan maklumat, bukan mewujudkan sistem tersendiri. Beberapa ahli sains atau pegawai kerajaan boleh ditempatkan di agensi mereka.

Kajian dan maklumat berkaitan rantau Asia Tenggara, dan menganalisis bagaimana impaknya kepada negara kita. Apa yang kita rasai di Malaysia ialah ekoran peristiwa geologi yang berlaku di negara jiran. Kita hanya mendapat tempiasnya saja.

Pada masa sama, masyarakat perlu diberikan maklumat yang tepat dan jelas melalui pendidikan awam mengenai fenomena bencana alam di rantau Asia Tenggara. Bagi rakyat di negara kita, kesedaran dan fahaman mengenai gempa bumi, volkano dan impaknya kepada kehidupan penting untuk menghindar bencana dan berhati-hati dalam melaksanakan pembangunan yang kurang mesra alam.

Rakyat Malaysia bernasib baik. Kita dilindungi daripada bencana gempa, tsunami dan letusan volkano. Begitupun, kita masih berdepan dengan bencana alam lain, terutama banjir besar dan tanah runtuh. Nikmati dan bersyukurlah dengan rahmat Ilahi ini.

Penulis adalah Profesor Pelawat Kehormat, Pusat Geotropik, Universiti Teknologi Malaysia dan Ahli Lembaga, Ahli Geologi Malaysia

Sumber: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/10/485029/malaysia-kian-dihampiri-jalur-gempa-bumi